Monday, August 8, 2011

Awasi Nafsu Makan di Bulan Puasa



 Hi!! lama dah xbersiaran kan... bukan apa nak update entry USS dan wedding pon xde mood...mojo blogging lom smpai lagi.. hopefully akan datang semula ok...mojo mojo pls come to me!!!!

So i nak share this artikel which taken from Bahagian Pemakan, MOH..biasa la kan bulan puasa ni nafsu makan mengatasi segala-segalanya...nak nak bila pergi pasar ramadhan..ya Allah napak sume nak kan..btol x?? jgn tipu bulan puasa ni..hehhehe

Just remember health is more important than anything else ;)

Awasi Nafsu Makan di Bulan Puasa

Puasa adalah menahan diri daripada lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Bulan puasa adalah bulan penting dalam kalendar  Islam yang menuntut umatnya melaksanakan rukun Islam yang ketiga.  Bulan puasa juga mengajar agar kita menjadi lebih berdisiplin serta prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Namun begitu, setelah seharian berpuasa rata-rata antara kita gagal mengawal nafsu makan terutama ketika menjelangnya waktu berbuka puasa. Kita akan memilih atau memasak makanan mengikut apa yang terlintas difikiran tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya pada kesihatan. Ini ditambah lagi dengan tarikan pelbagai judah yang dijual di bazar Ramadhan ataupun promosi-promosi berbuka puasa yang sering diadakan sepanjang bulan ini.

Bulan puasa juga adalah seperti bulan-bulan yang lain tetapi bezanya kita mengambil makanan di waktu malam. Corak pemilihan makanan harian kita tidak seharusnya berbeza. Pemakanan kita sepatutnya dapat membekalkan tenaga, karbohidrat, protein, lemak serta vitamin dan mineral yang sepatutnya agar kita dapat mengekalkan berat badan normal, tidak mengurangkan atau menambahkan berat badan. Walau bagaimanapun, bagi individu yang berlebihan berat badan dan obes, bulan Ramadhan adalah waktu yang sesuai untuk mengurangkan berat badan.

Berikut adalah 7 panduan yang boleh diamalkan untuk menjamin kesihatan di bulan Ramadhan.

1.   Beli atau sediakan juadah secara sederhana mengikut keperluan setiap individu. Jika boleh, sediakan senarai juadah yang hendak di beli sebelum ke bazar Ramadhan dan seboleh-bolehnya beli makanan seperti yang disenaraikan sahaja.

2.   Pilih makanan yang berkarbohidrat kompleks seperti nasi , mi, roti berbanding kuih-muih semasa berbuka puasa. Kuih-muih manis mengandungi gula yang tinggi dan dapat menyumbang kepada lebihan kalori.

3.   Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran di bulan puasa. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran membekalkan serat yang penting untuk mengelak kejadian sembelit di bulan puasa.

4.   Kurangkan penggunaan lemak dan minyak semasa penyediaan makanan. Semasa menggoreng dan menumis juga kita perlu meminimakan kuantiti minyak supaya makanan yang disediakan lebih sihat.

5.   Lebihkan pengambilan air. Ketika berbuka puasa, disarankan minum jus buahan-buahan (tanpa gula) dan elakkanlah dari minuman yang manis seperti minuman kordial dan minuman berperisa.

6.   Utamakan makanan yang mengandungi bijirin penuh sewaktu bersahur seperti oat atau roti bijirin penuh. Makanan yang mengandungi bijirin penuh mengenyangkan dan mengurangkan rasa lapar di siang hari.

7.   Kurangkan pengambilan makanan yang masin seperti telur masin, kicap atau ikan masin. Hadkan penggunaan sos semasa memasak dan kurangkan mencicah makanan dengan sos. Makanan yang masin boleh menyebabkan kita rasa cepat haus disamping boleh memudaratkan kesihatan.


Bulan puasa bulan mulia. Jalanilah ibadat puasa yang hanya datang setahun sekali ini dengan penuh ketaqwaan. Elakkan pembaziran kerana perbuatan ini dimurkai Allah sebagaimana dalam firmaNya surah Al-A’raf Ayat 31 :

” Hai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali (memasuki masjid). Makan dan minumlah, tapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”.

Selamat Berpuasa.

Bahagian Pemakanan
Kementerian Kesihatan Malaysia

1 comment:

FarahBaek said...

yana, dah lame x update blog...rindu.thanx 4 da gud info :)